Thursday, April 30, 2009

Jika pentingkan diri, PAS sudah lama berkerjasama dengan BN - Salahuddin Ayub

JIKA PAS mementingkan diri sendiri dan tidak mengutamakan aspirasi rakyat, ia kini berada dalam kerajaan negeri Perak, kata Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

"Ogos tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah membuat pengumuman menawarkan satu perkongsian kuasa dengan PAS bagi membentuk kerajaan di Perak dan sanggup menerima Adun PAS sebagai Menteri Besar Perak.

"Jika kita mementingkan diri, sudah tentu kita menerima tawaran itu dan mencampak ke tepi aspirasi rakyat yang menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac tahun lalu," katanya ketika mengulas dakwaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menuduh perjuangan PAS hanya untuk kepentingan diri sahaja.

Kemarahan Menteri Dalam Negeri itu berpunca dari tindakan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dilaporkan menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Salahuddin mengulangi penegasan bahawa PAS mahu membentuk kerajaan yang direstui rakyat dan bukan melibatkan diri dalam kerajaan bangsawan baru yang tidak tahu lagi memahami keresahan rakyat.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu ia akan berlari-lari mengejar dan menyertai kerajaan elit Umno BN yang disifatkan oleh rakyat sebagai lost touch dengan mereka - langsung tidak memahami atau buat-buat tak faham keresahan mereka.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu PAS menyertai kerajaan yang pernah dijangka oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai kerajaan perasuah sebelum pemilihan Umno dan selepas pemilihan pula beliau menyifatkan kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai kerajaan yang turut dianggotai oleh mereka yang berperangai keji," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga membangkitkan kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan tindakan Umno BN yang mengambilalih pemerintahan di Perak sebagai sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang (in conflict with the law).

"Kenyataan Dr Mahathir menunjukkan mereka yang mengambil alih kerajaan Perak adalah kaki langgar undang-undang. Adakah tidak mementingkan diri bermakna berkerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan kaki langgar undang-undang?!" beliau mempersoalkan.

Salahuddin juga menunjukkan SMS yang diterimanya. SMS itu menyatakan, "Dulu kerajaan anak-beranak, kini kerajaan suami isteri".

"Saya tidak tahu SMS ini ditujukan kepada siapa. Tetapi adakah tidak mementingkan diri itu berkerjasama dengan kerajaan anak-beranak atau kerajaan suami isteri? Kalau kerajaan suami isteri, adakah buat keputusan atas katil dan kita pula mesti menjadi kuli kepada keputusan mereka supaya tidak dituduh mementingkan diri?"

http://sanggahtoksago.blogspot.com/2009/04/jika-pentingkan-diri-pas-sudah-lama.html

Dengarla juga wahai Isteri-isteri ku he..he...

Jika kebelakangan ini Allah ilhamkan kepadaku untuk kaitkan poligami dan kekeluargaan Islam dengan sistem cakerawala kita, hari ini Allah ilhamkan kepadaku untuk melihat sistem kekeluargaan Islam dari segi pembentukan atom pula.

Sebenarnya konsep atom dan sistem cakerawala kita ada persamaannya. Dalam atom ada nuklues yang dikelilingi oleh elektron. Sama macam matahari yang dikelilingi planet. Atom yang paling sedikit elektronnya adalah Hidrogen. Ia mempunyai satu elektron. Dan atom yang paling banyak elektron yang ditemui setakat ini adalah Ununoctium iaitu sebanyak 118 elektron.

Nuklues mempunyai tenaga yang melayakkan dia memegang elektron. Semakin besar tenaga yang ia ada semakin banyak elektron-elektron yang dipegangnya. Allah tidak membebankan nukleus ini memegang banyak elektron melainkan di atas kesanggupan mereka sendiri. Tenaga yang banyak pada nuklues ini diekplotasi dalam penciptaan bom nuklear dan penjanaan tenaga elektrik.

Begitu jugalah sistem kekeluargaan dalam Islam. Seseorang lelaki yang beriman digalakkan berkahwin lebih dari seorang isteri. Jika keluarga itu hanya ada seorang isteri, ia umpama seperti gas hidrogen, iaitu ringan dan mudah terbakar. Sebab itu kita lihat sistem kekeluargaan umat Islam sekarang cepat sangat terbakarnya. Dan kerana umat Islam sekarang ramai yang beristeri seorang sahaja, maka ia membentuk umat yang ringan dan lemah seperti gas. Seperti yang dikatakan umat Islam akhir zaman ini seumpama buih-buih di lautan. Harapkan kuantiti sahaja ramai, tetapi lemah lagi suka berpecah-belah.

Namun apabila umat Islam mula sedar diri tanggungjawabnya (bermula dari para lelakinya), mereka akan berusaha memperkuatkan diri agar banyak tenaga untuk memikul tanggungjawab ramai isteri. Biar kita menjadi seperti atom besi yang keras atau lagi hebat seperti aurum dan atom-atom yang banyak elektron itu.

Apabila umat Islam membentuk kekeluargaan yang kuat seperti besi, bayangkan kehebatan umat Islam itu nanti. Dikhabarkan Nabi Sulaiman memiliki isteri seramai lebih kurang 100 orang. Ini menunjukkan baginda seorang yang kuat semangat seperti atom urinium, plutonium dan yang sekeluarga dengannya. Cetusan semangat yang terpancar dari baginda melayakkan baginda menguasai kerajaan yang luas dan memiliki kehebatan menundukkan jin, manusia dan binatang.

Begitulah nilai poligami dalam Islam. Janganlah lihat poligami dari sudut yang sempit dan berfikiran pendek. Lihatlah kebaikannya untuk umat manusia dan alam semesta. Jika poligami itu suatu yang buruk, sudah pasti Allah mengharamkannya. Tetapi kerana ia mempunyai nilai yang amat besar kepada manusia, sebab itu semua para rasul yang berjaya dalam dakwah mereka diperkuatkan dengan poligami.

Untuk membina generasi manusia yang kuat semangat sehingga mampu meneroka alam semesta, kita perlukan sumber-sumber semangat. Dan sumber tenaga ini datangnya daripada Allah. Seorang lelaki, oleh kerana ia adalah pemimpin kepada perempuan, dan di atas mereka tiada siapa kecuali Allah, mereka kena bergantung terus kepada Allah untuk mendapat sumber kekuatan ini. Nak bergantung kepada Allah, kita kena guna logik akal. Jika beragama menurut tok guru, manusia itu akan jadi penakut seterusnya hilang semangat. Berfikirlah secara logik dengan bukti-bukti yang ada di seluruh alam ini.

Jangan pisahkan agama dengan sains. Biarpun kajian sains sekarang banyak dikembangkan dari Barat, asalnya ia dari cetusan para nabi dan golongan berfikir terdahulu. Dan sesuatu yang benar dan logik, bukankah ia datang daripada Allah? Syaitan tidak mampu menyesatkan manusia guna logik, sebab itu syaitan tidak diberikan kekuasaan sebagai khalifah. Syaitan hanya menyesatkan manusia secara sihir atau berpegang sesuatu yang khayalan tanpa bukti logik. Diharamkan arak dan dadah itu kerana menyebabkan manusia jadi suka khayal seterusnya merosakkan sistem akal fikiran.

Berfikirlah setiap masa agar semangat dan tenaga dalam diri semakin bertambah. Semakin kita nampak kelogikan apa yang kita fikirkan, semakin terang alam rohani kita. Ketika itu kita mula melihat hidup kita semakin luas, bukan setakat atas muka bumi. Kita mula nampak planet-planet, galaksi dan angkasaraya. Allah perluaskan pemikiran kita.

Begitulah nilainya apabila kita belajar kenal diri dengan bereksperimen pada diri kita sendiri serta bergantung terus kepada Allah. Dia yang mencipta kita, maka Dia-lah yang layak memberi tunjuk ajar kepada kita. Sunnah dalam belajar, sudah semesti kita kena guna akal. Mana boleh guna nafsu untuk belajar? Manusia tidak akan memahami bila guna nafsu ketika belajar.

Apabila seorang lelaki itu memiliki kekuatan yang melayakkan dia memikul amanah ramai isteri, barulah Allah berikan mereka ramai isteri. Jangan fikir sekadar memuaskan nafsu sahaja untuk berpoligami ini. Para rasul dulu berkahwin ramai bukan untuk melayan kehendak seks semata-mata, tetapi kerana ada tanggungjawab yang besar iaitu memerlihatkan kebenaran agama Allah, agar manusia nampak secara logik tanda-tanda Kekuasaan Allah. Apabila semakin ramai manusia sedar tanggungjawab mereka sebagai insan, maka dunia ini akan aman dan damai. Tapi jika diajak berfikir secara logik untuk kenal Allah pun sudah buat alasan pengecut dengan mengatakan nanti tersesat atau mengatakan akal manusia terbatas, macam mana nak jadi lelaki yang berani dan diberikan kekuatan semangat?

Dan kepada yang perempuan, kerana mereka adalah golongan yang dipimpin oleh lelaki, mereka akan mendapat tenaga yang kuat apabila tidak menyekutukan suami seperti mana lelaki tidak menyekutukan Allah. Mentaati suami yang tidak menyekutukan Allah samalah seperti isteri itu mentaati Allah. Sebab itu kita nampak logik kenapa tempat suami itu kedua tertinggi selepas Allah, bagi seseorang isteri. Jadi jika seseorang wanita itu ingin mencari kehidupan yang bersemangat, maka carilah lelaki yang bergantung terus kepada Allah dalam beragama, bukannya bergantung kepada tok guru atau selainNya.

Suami yang beriman adalah sumber semangat bagi seorang isteri. Tetapi suami yang pengecut lagi menyekutukan Allah akan menyebabkan isterinya hidup dalam keadaan tertekan, ragu-ragu lagi mudah cemburu buta. Ini kerana bila pemimpinnya pun menyembah syaitan (menyekutukan Allah), maka yang dipimpin pun akan menurut sama. Akibatnya terbentuklah keluarga manusia yang lemah dan hidup sekadar untuk bermain-main di atas muka bumi.

Jadi, untuk membangkitkan umat Islam yang lemah dan layu sekarang ini, kita kena kembali kepada asas iaitu kenal diri kita sendiri. Belajar kenal diri agar pergantungan kita hanya semata-mata kepada Allah. Jangan beragama menurut apa yang orang lain buat, tetapi mengikut logik yang Allah perlihatkan. Apabila kita berpegang pada sesuatu yang logik, hati kita akan tenang sebab kita ada bukti. Tetapi jika kita beragama secara menurut tanpa memahami sebab apa kita menurutnya, kita akan jadi pengecut dan terkial-kial mencari nama-nama imam terdahulu untuk membenarkan pegangan hidup kita.

Allah sudah kurniakan kita akal. Perkuatkanlah akal kita itu agar ia menjadikan hati kita kukuh dan teguh daripada keraguan. Bila kita semakin yakin pada diri sendiri untuk kenal Allah, maka Dia akan bekalkan kita tenaga yang menjadikan kita manusia yang bersemangat tinggi. Manusia akan rasa puas hasil dari usahanya sendiri. Berusahalah untuk kenal Allah guna keupayaan diri kita sendiri. Allah sudah siapkan penciptaan kita yang melayakkan kita kenal Dia tanpa ada perantaraan tok guru pun. Tugas kita adalah berfikir secara logik untuk mentaati kebenaran tanpa berprejudis pada sesuatu bangsa atau kaum. Mana-mana manusia sampaikan kebenaran berdasarkan bukti yang nyata, kita terima.

Kelak apabila semakin ramai lelaki yang menjadi seperti nuklues yang bertenaga tinggi, maka Allah akan hadirkan “elektron-elektron” yang banyak sesuai mengikut keupayaan nuklues itu. Sebab Allah tidak akan membebani manusia melainkan atas kesanggupan masing-masing.

Wanita-wanita yang faham fungsinya seumpama elektron itu tiada masalah pun jika suaminya mahu berpoligami, kerana dia tidak melihat dirinya sebagai dirinya semata-mata, tetapi untuk kepentingan umat manusia. Bayangkan jika ada satu elektron sahaja tidak setuju sesuatu nuklues itu ada banyak elektron, pasti struktur atom itu akan jadi lemah seperti gas Hidrogen atau pun tidak seimbang. Bila tidak seimbang, akan menyebabkan keruntuhan keseluruhan gabungan atom-atom yang membentuk sesuatu bahan.

Keruntuhan umat Islam sekarang kerana banyak perkara yang asalnya baik tetapi dilihat buruk akibat menolak berfikir secara logik dan rasional. Umat Islam mudah mengikut kepanasan hati daripada berfikir secara waras. Syaitan dalam hati masing-masing membakar umat Islam terutama pada institusi kekeluargaan sehingga banyak kes cerai-berai berlaku dalam keluarga Islam. Inilah kesan buruk bila beragama secara subsidi mengharapkan ulamak atau tok guru tolong suapkan. Umat Islam sudah tidak gunakan pemikiran agar tidak cepat menurut rasa. Bak kata pepatah, ikut rasa badan binasa. Jadi ikutlah pertimbangan akal yang waras, barulah hidup jadi selamat. Ketika itu barulah poligami dapat diperindahkan dan mencapai matlamat hidup manusia sebagai khalifah alam.

www.halaqah.net

Dengar la Wahai Isteriku....

Ahmad Baei Jaafar

Hayat sesuatu perkahwinan umat Islam pada akhir-akhir ini tidak lama, paling lama boleh bertahan ialah selama lima tahun tetapi yang paling singkat ialah 7 hari. Ketidakserasian dikatakan punca berlakunya perpisahan mereka.

Persoalannya bagaimana perkahwinan itu boleh terjalin kalau tidak serasi. Adakah sebelum berkahwin mereka tidak melihat keserasian itu? Mengapa pula selepas berkahwin baru didapati hubungan mereka tidak serasi?

Barangkali benarlah kata orang tua-tua, “cinta itu buta”. Sewaktu bercinta mereka tidak nampak cacat celanya. Waktu bermadu kasih, semua yang buruk nampak cantik dan indah belaka. Jadi, keserasian tidak dapat dikesan kerana manusia dikatakan boleh berlakon melindungi watak sebenar.

Walau bagaimanapun hujah keserasian itu tidak begitu kuat untuk diterima kerana keserasian boleh datang selepas berkahwin. Jadi, punca sebenarnya ialah pasangan itu tidak pandai membina keserasian. Suami dan isteri gagal memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam ruangan yang terbatas ini saya ingin membawa pembaca untuk menghayati sebuah hadis iaitu Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taatlah kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, nescaya sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran. Sungguhpun begitu sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al-Imam Bazzar).

Menurut hadis di atas, dua perkara yang sering diabaikan oleh isteri ialah; mentaati suami dan mengakui hak suami. Lazimnya selepas pasangan pengantin diijabkabulkan mereka enjoy dengan kebebasan yang mereka peroleh. Mereka terlupa untuk mengenali secara lebih mendalam isi hati masing-masing atas alasan sudah kenal lama.

Sebenarnya alam perkenalan, bertunang dan alam rumah tangga tidak sama perjalanan hidupnya. Kalau sekiranya selepas berkahwin, gaya hidupnya sama seperti zaman perkenalan sudah tentu akan berlaku kompleks yang tidak kesudahan. Apa tidaknya, tanggungjawab tidak diberi perhatian, hak suami isteri tidak dijaga, dan pantang larang hidup berkeluarga sering dilanggar.

Pada waktu itu kesalahan suami isteri, boleh dimaafkan dengan cara baik kerana darah masih panas dan manis. Tetapi jika setelah tiga bulan kesalahan sama terus diulangi, tentu akan timbul rasa kurang senang hati pasangannya. Ketika itu akan berlakulah pertengkaran kecil.

Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini, si isteri tidak tahu meletakkan ketaatan kepada suami kerana dia menganggap dirinya dengan suaminya sama sahaja. Suaminya tidak ada keistimewaan berbanding lelaki lain yang dia kenali.

Boleh jadi suami sejak berkahwin sehingga ke saat itu, tidak pernah menunjukkan kewibawaannya, ilmunya mungkin kurang, agamanya juga kurang, dan pendapatannya juga mungkin kurang daripada isterinya. Bagaimanakah dalam keadaan itu si isteri boleh menghormati suaminya?

Barangkali kalau suami pada hari perkahwinannya telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin, pembimbing, pendidik, tegas, kasih sayang, dan amanah pasti isteri akan taat kepadanya. Biarpun suami tidak ada ilmu sehebat isteri, tetapi dengan kewibawaannya memimpin keluarga, cukup besar ertinya kepada si isteri. Isteri mamang mahu seorang lelaki yang boleh membela hidupnya hingga ke akhirat.

Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, isteri yang boleh taat suami dan menjaga hak suami walaupun suaminya tidak berwibawa, walaupun miskin, dan tidak cukup ilmu, wanita inilah yang akan berboleh pahala seperti berjihad di medan perang.

Menyentuh sikap isteri yang tidak mahu mengakui hak suami, ia berpunca daripada kegagalan suami mendidik isteri pada awal perkahwinan. Mungkin dia tidak tahu apakah hak suami yang perlu dijaga. Kalau tidak masakan isteri tidak boleh menghormati suami dan menjaga haknya.

Tanpa didikan itu, seorang isteri mungkin tidak membenarkan suaminya menyentuh tubuhnya selagi tidak diadakan majlis kenduri kahwin. Ada juga isteri yang tidak membenarkan tubuhnya disentuh suami kerana tidak sanggup mengandung dan masih tidak mahu anak. Malah ada juga isteri yang tidak mahu disentuh suami kerana masih terbayang bekas kekasihnya.

Biasanya dalam keadaan itu suami akan terus bersabar. Dia masih sayangkan isteri, apatah lagi telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengahwininya, sudah pasti dia cuba memaafkannya. Harapannya lambat laun isterinya akan insaf dan berubah. Tetapi berapa lama dia boleh bersabar?

Sebenarnya dalam Islam suami berhak terhadap tubuh isterinya. Isteri ibarat ladang yang boleh dibajak dan dituai, begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila hak itu disekat dan tidak diiktiraf, akan musnahlah segala harapan dan perkahwinan itu hanya menunggu retak. Suami ketika itu tidak akan rasa sayang lagi akan wang pelaburannya dan akan bertindak menceraikan isterinya.

Jadi, isteri perlu pelihara dua perkara di atas untuk disenangi suami dan beroleh pahala yang besar. Wallahu aklam.

Wednesday, April 29, 2009

kerja - kerja bodoh dalam pas (2)

Salam Kamunting,

1)

Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.

Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar - benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.

Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.

Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!

Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.

Sehingga saya tiba - tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda - landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.

AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.

Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah - tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.

Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.

Sekarang masanya saya menjelaskan..

2)

Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?

Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu - isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.

Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.

Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal - soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.

Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.

Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh - puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja - kerja bohong, bodoh dan jahat ini.

Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.

Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.

3)

Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!

Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.

4)

Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.

Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.

Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.

Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.

Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.

Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu - pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia - sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.

Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.

Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.

5)

Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik - sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.

Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.

Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.

Tetapi, kerja - kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.

Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?

Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.

nmabduh@hotmail.com

Takutnya....

Peningkatan kes rogol membimbangkan!


TASEK GELUGOR, 26 April (Hrkh) - Peningkatan bilangan kes rogol sehingga 300 peratus sejak kebelakangan ini membimbangkan banyak pihak dan seharusnya langkah-langkah menanganinya dicari secepat mungkin.


Demikian kata Penyelaras Masjid, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hasan dalam forum bertajuk 'Masalah Sosial, Cabaran Masa Kini' anjuran Masjid Permatang Sungai Dua dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Butterworth semalam.

Jelasnya, pada tahun 2007 kes rogol mencatatkan 1,241 manakala tahun 2008 meningkat kepada 4,959 kes.

"Sungguh memeranjatkan kes rogol di Malaysia meningkat 300 peratus. Situasi ini memang mengerunkan. Kerajaan perlu mencari formula terbaik untuk tangani segera, " ujarnya.

Turut serta sebagai ahli panel ialah Penolong Pengarah Bahagian Takmir, Ustaz Mohamad Imran Ibrahim, Pegawai Tadbir Agama Butterworth, Ustaz Salehudin Sulaiman dan dipengerusikan Pegawai Agama Perda, Ustaz Azhar Abdul Hamid.

Kata Ustaz Abu Bakar lagi, kepincangan masyarakat bermula daripada rumah tangga, alam keliling dan suasana negara mendorong individu memuaskan nafsu mereka bilamana berpeluang berbuat demikian.

Kes anak luar nikah pula daripada tahun 2000 sehingga bulan Julai 2008 berjumlah 257,411 orang yang mana nisbah 94 orang dilahirkan sehari semalam.

"Itu termasuk yang dilapor atau direkodkan tidak termasuk lagi yang dibuang ke laut, parit, tong sampah dan sebagainya," ujarnya.

"Kes anak luar nikah juga meningkat tinggi dalam masa tujuh tahun setengah. Di mana peranan kita untuk memastikan masyarakat terus cemerlang, " katanya.

Di kampung-kampung sekarang ini kelas pengajian agama masih di tahap rendah kerana ramai lagi masih tidak memikirkan kepentingannya, kata beliau.

"Ustaz ramai tetapi bila ada pengajian di masjid bilangan orang yang datang tidak seramai mana lebih ramai yang berlepak di kedai minum atau pasar malam," katanya.

Bila ketiadaan ilmu agama, remaja akan menjadi bertambah liar dan tidak mendekati masjid sebaliknya lebih suka berpoya-poya dengan teman di luar, ujarnya.

Memandangkan fenomena itu bertambah runcing maka semua pihak kena mainkan peranan seperti ibubapa kena mangawasi sikap anak-anak, katanya.

"Masyarakat pula digalak mengamalkan anak engkau anak aku manakala negara pula hendaklah menyemai progam berfaedah untuk mendidik ke arah insan bertamadhun, " ujarnya./wannordin _

Sunday, April 26, 2009

Khalid ibn Walid : "saya tidak berjuang untuk 'Umar, melainkan berjuang untuk Islam."

hattab menjadi Khalifah, Khalid ibn Walid menjadi Panglima Perang. Ke mana saja ia dikirim pasukannya selalu menang. Sekali waktu pasukan Khalid ada di Asia Kecil. Sebelum menyerbu pertahanan musuh Khalid mendapat surat dari Khalifah, iaitu surat melucut jawatanya sebagai panglima.

Tetapi dalam penyerbuan itu, Kahlid sebagai tentera biasa masih menunjukkan kesungguhannya, bahkan masih berjasa dalam merebut kubu musuh. Waktu ditanya temannya sepasukan: "Wahai Khalid, buat apa engkau bersungguh-sungguh begitu, bukankah engkau telah dipecat 'Umar?"

Khalid menjawab, "saya tidak berjuang untuk 'Umar, melainkan berjuang untuk Islam." Kemudian Khalid minta izin dari panglima yang baru untuk ke Madinah minta penjelasan Khalifahkenapak dia dipecat. Syahdan. inilah dialog secara terbuka antara 'Umar sebagai Khalifah dengan Khalid sebagai bekas Panglima.

Tanya Khalid "Mengapa saya dipecat, apa kesalahan saya?" Jawab Umar"Engkau saya pecat untuk mencegah tiga hal:-

Pertama, untuk Khalifah, Panglima tidak boleh lebih populer dari Khalifah.

Kedua, untuk engkau sendiri, engkau adalah manusia biasa, kalau berhasil terus dalam memimpin engkau akan menjadi sombong.

Ketiga untuk rakyat, rakyat harus dipelihara aqidahnya dan kemusyrikan memuja kepahlawanan kamu."

Lalu Khalid menjawab "Saya terima pemecatan itu dengan ikhlas". Perintah Umar "Engkau sekarang saya tugaskan membantu Sa'ad di pasukan sebelah timur yang sedang mengalami kesulitan melawan pasukan bergajah angkatan perang Parsi."

Maka Khalid dikirimlah ke pasukan sebelah timur. Ia menyarankan kepada Panglima Sa'ad untuk menghadapi setiap ekor gajah perang dengan satu regu pasukan panah. Yang dipanah dahulu adalah penunggangnya. Setelah penunggangnya tewas baru memanah gajah pada bagian yang sensitif.

Khalid sendiri menawarkan dirinya untuk menjadi kepala regu dari salah satu regu pemanah. Taktik Khalid ini berhasil mengalahkan tentera bergajah itu. Karena gajah itu sudah tidak ada yang mengendalikannya, dan kesakitan kena panah, para gajah itu berbalik haluan menginjak-injak tentera berkuda dan kumpulan tentera sendiri di belakangnya, maka kocar kacirlah pasukan Parsi itu.

Ada empat nilai yang masih relevan hingga kini dalam kehidupan berpolitik dan bernegara dari dialog di atas.

Yang pertama, sikap keterbukaan dan keikhlasan, sebab tanpa keterbukaan mudah terjadi kesalah fahaman, yang mengandung bibit perpecahan ibarat api dalam sekam, baik dalam kalangan pimpinan organisasi politik dan negara, maupun antara yang memimpin dengan yang dipimpin.

Yang kedua, kepala negara atau organisasi tidak boleh kalah populernya dari panglimanya. Betapa banyak terjadi perebutan kekuasaan yang dilakukan oleh panglima suatu negara maupun kerajaan dalam sejarah.

Yang ketiga, orang yang selalu mencapai kejayaan dalam bidang apa saja, akan menjadi objek bagi iblis untuk masuk dalam perangkapnya bersifat seperti iblis sendiri, iaitu takbur, menyombongkan diri, baik kesombongan dengan pangkatnya, maupun kesombongan intelek dan jenis-jenis kesombongan yang lain.

Yang keempat, sikap mendewakan pemimpin, taat tanpa batasan, memuja tanpa batas dari rakyat dan ahli organisasi, menyebabkan rosaknya aqidah rakyat , dan pada pihak yang lain pemimpin akan menjadi diktator. Contohnya banyak dalam sejarah seperti misalnya rakyat Jerman yang memuja Fuhrernya, Hitler, sang diktator.

Tahniah pasukan SELANGOR !!!

Best betul game selangor lwn kelantan...
Tahniah kepada Rohaya (peminat fanatik selangor he..he..)

Kerja-Kerja Bodoh dalam PAS

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!


Nukilan dr Nik Mohd Abduh